Rabu, 19 Oktober 2011

Pulihkan Semangatmu

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
 

 
Semangat kita naik turun. Ada masa kita ingin melakukan segala-galanya dan ada masa kita ingin tinggalkan segala-galanya. Apa yang kita harus percaya adalah dalam diri kita ada potensi luar biasa yang diberikan oleh Pencipta untuk digilap dan digali. Potensi kita akan mati jika dibiarkan terus berkubur bersama kelemahan dan keluh-kesah. Sebaliknya akan berkembang jika dicanai dengan semangat juang yang tinggi.

Saat semangat itu luntur, bagaimana potensi akan bisa berkembang?

Jadi kita harus mengembalikan semangat demi menggilap potensi ke tahap yang optimum. Sehebat mana pun besi yang diberikan kepada kita, ia akan berkarat jika dibiarkan di tengah hujan panas selama beberapa ketika. Namun, potensi besi boleh terlihat dalam kapal terbang yang berlegar di udara, pada kapal yang berlayar di lautan, pada senapang yang menembak tepat, dan pada tiang yang menjadi pasak bangunan.

Mungkinkah besi akan bererti jika tidak dilebur dan dicanai dengan sehabis baik?

Setelah diketuk dan diproses, barulah mungkin besi akan menjadi pedang yang hebat dan digeruni.

Masalahnya kita tidak ada kekuatan dan semangat untuk mencanai potensi diri, untuk menggilap setiap aspek yang kita miliki baik akalnya, jasadnya dan hatinya. Kita ibarat mayat hidup yang menunggu masa untuk berkubur bersama semangat yang luntur.

Cukup!!

Sudah lama kita melalui fasa kelemahan yang membuatkan agama dan bangsa kita dipandang lemah dan serong. Kerana kita tidak mahu mencari semangat yang hilang dan terus merencatkan potensi.
 
Mahasiswa Da’i Yang Down

Dalam satu aspek yang lain, masih ramai dalam kalangan kita yang normal namun dilanda penyakit “down”. Keadaannya mungkin lebih teruk lagi kerana pada saat itu kita mungkin tidak mahu lagi mendekati Allah dan lebih cenderung untuk membuang masa-masa berharga dalam kehidupan. Ingatlah bahawa Imam Hasan al-Banna pernah berpesan, Barangsiapa membuang masa, sesungguhnya dia membunuh diri kerana masa itu sendiri adalah kehidupan.

Oleh itu, mahasiswa da’i yang “down” merupakan sesuatu yang lebih berbahaya daripada orang yang mengalami Down Syndrome.

Banyak perkara yang bisa membuatkan kita down. Kadangkala pergaduhan kecil dengan teman lelaki atau wanita sudah boleh melemahkan kita (siapa suruh bercinta?). Kadangkala kegagalan menjawab peperiksaan dengan baik pun bisa melemahkan kita. Tidak ada wang pun boleh men"down”kan kita. Apa yang datang kepada kita sehari-hari mempunyai potensi untuk menyebabkan kita down. Namun jangan lupa bahawa apa yang datang itu juga mungkin bisa membuatkan kita “up” dan menjadi bertenaga.
 
 
Ubat Down 

Ketika kita down, kita pasti dapat merasakan bahawa hidup kita menjadi serba tidak kena. Tatkala itu, jangan biarkan kita terus dilanda kemurungan dan kesedihan. Ubati segera. Jika sakit badan jumpa doktor, jika sakit di hati jumpalah kawan-kawan yang boleh memberikan nasihat dan teguran. Atau lebih baik lagi jumpa ustaz atau ustazah. Itu sebagai terapi psikologi. Bahkan banyak lagi cara yang boleh kita lakukan. Baca al-Quran dan mentadabbur, solat di malam hari, berzikir di waktu senggang, senyum kepada orang lain, dan lain-lain.

Antara sebab kita selalu down ialah kita selalu berseorangan di masa lapang dan membuatkan kita terkenang perkara-perkara yang bisa membuatkan kita down. Jadi bercampurlah dengan teman-teman dan binalah perhubungan yang erat yang bisa memelihara kita daripada down sentiasa.

Wahai orang muda, wahai diriku yang juga muda, sampai bila engkau hanya akan melihat generasimu bermimpi-mimpi dalam dunia yang fana dan engkau terus hanyut bersama mereka?

Sampai bila hiburan akan menjadi santapan diri lantas rohani kelaparan dan dahagakan pengisian?

Sampai bila cinta remaja akan menjadi penghalang untuk kau terus maju mencapai cinta Ilahi?

Sampai bila engkau akan kecewa dengan manusia sedangkan Tuhan sentiasa menanti panggilanmu?

"Carilah semangat kita di dalam hidup. Jika tidak kita temui, carilah di dalam solat fardu dan sunat, carilah di sebalik doa rintihan di malam hari, carilah di sebalik bacaan al-Quran yang menusuk jiwa dan membina nurani. Carilah di sebalik penerokaan sirah Nabi dan para sahabat. Jika masih kau tidak temui, pohonlah agar dikurniakan kepadamu hati baru yang lebih bersemangat dan bertenaga."

Bukan masanya lagi kita dirundung lemah tiada akhirnya. Tetapi masanya kita memulihkan semangat yang tiada mati dan sentiasa segar di sisi Ilahi.

Akhir kata, up and down itu biasa dalam kehidupan, namun kita perlu bijak mengawal diri agar tidak selalu down. Jadilah orang yang bertenaga dan bersemangat.
“Mukmin yang kuat itu lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah.”



(Sambungan daripada Muhasabah Diri 9:24)


 
--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم