Khamis, 30 Disember 2010

~KiSaH kASiH SeOrAnG AdiK~

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil seringgit dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang sahaja daripada sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai.

"Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut, "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apa lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!". Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu, ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali."

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelikatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. "Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti".

Tiada siapa menyangka, dinihari itu adik tiada di biliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat......"Kak, untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya akan cari kerja dan kirim wang buat akak".

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa, "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?". Tergesa-gesa aku ke luar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?". Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi.

Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata".

Dari plastik yang dibawanya, adik keluarkan sehelai selendang berwarna merah jambu. Dia mengenakan ke kepalaku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai selendang macam ni, saya beli satu untuk akak".

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan lagi.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik".

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka". Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak..Kak tahu, semasa bekerja sebagai sebagai buruh kontrak, kelikir dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras". Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain? Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada" kata adik.

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak" kataku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya..." katanya lantas menceritakan kisah yang langsung tidakku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari, tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah, saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar".

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri, saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila".

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

~Cerita ini telah dikirimkan oleh seorang rakan melalui email. Penulis asalnya tidak diketahui. Anda mungkin telah membacanya, semoga kisahnya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan anda...:)~

Rabu, 29 Disember 2010

10 Amalan Yang Terbalik...

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-


 1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian  (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh  Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati  untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?



 2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap Assalamu'alaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula Assalamu'alaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


 3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.


 4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.


 5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.


 6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?


7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.


8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.


 9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.


 10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.


Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.


 
Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)


Wallahuallam....

Rabu, 22 Disember 2010

BuNgA TuLiP, Warisan Kekhalifahan Islam Turki Uthmaniyyah...

Bunga Tulip selalu diidentikkan dengan negara Belanda. Ribuan pengunjung datang ke Belanda hanya untuk mengagumi bunga yg cantik dan berwarna cerah ini yang banyak ditanam di taman-taman negara Kincir Angin itu. Kota Keukonhof di Belanda, setiap tahunnya sahaja akan dikunjungi sekitar 800,000 orang pengunjung daripada seluruh dunia yang ingin menyaksikan keindahan aneka bunga tulip dalam Festival Tulip yang diadakan pada setiap tahun di kota itu. Maka tidak hairan masih ramai yang beranggapan bahawa bunga tulip adalah berasal daripada Belanda.

Bunga tulip sebenarnya bukan berasal daripada Belanda tetapi bunga ini berasal daripada Asia Tengah iaitu di Iran dan Belanda sebenarnya terhutang budi pada kekhalifahan Islam Uthmaniyyah di Turki kerana atas peranan kekhalifahan Islam inilah Belanda sekarang jadi terkenal kerana bunga tulipnya.

Bunga tulip sebenarnya bunga liar yang tumbuh di kawasan Asia Tengah. Orang-orang Turki yang pertama kali memperkenalkan bunga ini pada awal tahun 1000-an dan pada masa pemerintahan kekhalifahan Uthmaniyyah, terutama pada masa kekuasaan Sultan Ahmed III (1703-1730), bunga tulip berperanan penting sehingga masa pemerintahan Sultan Ahmed III disebut juga sebagai Era Bunga Tulip.

Pada masa itu, istana Sultan memiliki sebuah dewan khusus untuk membudidayakan bunga-bunga tulip. Dewan itu diuruskan oleh seorang Turki yang juga merupakan Ketua Pengklasifikasi bunga istana yang tugasnya memberikan penilaian pada kualiti pelbagai jenis bunga tulip dan memberikan nama yang indah dan puitis bagi bunga-bunga itu antara lain dengan nama Those that burn the Heart, Matchless Pearl, Rose of Colored Glass, Increaser of Joy, Big Scarlet, Star of Felicity, Diamond Envy dan Light of the Mind.


Hanya bunga-bunga tulip yang memiliki kualiti sempurna sahaja dimasukkan di dalam daftar jenis-jenis bunga tulip itu iaitu bunga tulip yang memenuhi standard dari ukuran tinggi dan keindahan kelopak bunganya, bentuk helaian kelopaknya lancip dan jarak antara helaiannya rapat. Helaian kelopaknya hendaklah halus tetapi kuat, mempunyai satu warna, ukuran lebar dan panjangnya sesuai. Selepas 300 tahun kemudian, barulah komuniti hortikultur Belanda dan British mengambil langkah untuk mengklasifikasikan bunga tulip yang sudah lama dilakukan sebelumnya oleh ahli pengklasifikasi bunga Turki pada masa Kesultanan Ahmed III.

Bunga tulip baru diperkenalkan di Belanda pada abad ke-16 dan menjadi sangat popular di kalangan masyarakat kelas atasan di negara itu. Perkataan tulip sendiri berasal daripada bahasa Turki yang bermaksud serban iaitu kain yang dililit untuk menutupi kepala. Sebenarnya tidak diketahui secara pasti bila negara Kincir Angin itu mulai membudidayakan bunga tulip itu tapi dikatakan bunga tulip mulai dibawa ke Belanda pada sekitar 1550-an oleh kapal-kapal yang berasal daripada Istanbul.

Dokumentasi pertama tentang penanaman bunga tulip adalah pada tahun 1954 di Kebun Raya Universiti Leiden. Menurut catatan itu, bunga tulip yang ditanam di situ dibawa oleh Carolus Clusius dari Wina, Austria; pengurus taman istana di Austria. Ketika itu, pengaruh budaya Turki sangat kuat di Austria terutama dari gaya berpakaian yang oriental dan tradisi minum kopi.

Memasuki abad ke-17, ekonomi Belanda berkembang pesat dan memacu persaingan antara pencinta bunga tulip. Mereka berlumba-lumba mencari bunga tulip yang paling indah dan tidak kisah membayar dengan harga yang tinggi untuk membeli bunga tulip itu. Harga bunga tulip di Belanda pun semakin mahal bahkan khabarnya terdapat jenis bunga tulip yang harganya sama dengan sebuah rumah. Wow!!!. Pada tahun 1635 sahaja, satu set bunga tulip yang berjumlah 40 tangkai dijual dengan harga 100,000 florin jika dibandingkan dengan pendapatan golongan kelas menengah pada masa itu di Belanda yang hanya 150 florin sahaja.

Tahun 1636, perusahaan bunga tulip menjadi salah satu bisnes perdagangan yang tersenarai masuk ke dalam bursa saham dan diminati ramai orang. Ada di kalangan pengusaha rela menjual tanah, rumah dan harta benda mereka untuk melabur dalam bisnes bunga tulip. Jenis bunga tulip yang sangat terkenal pada masa itu adalah jenis tulip yang bernama Viceroy yang harganya boleh mencecah ribuan florin. Belanda menyebut fenomena demam tulip ini sebagai fenomena wind trade (perdagangan kontrak tulip) yang dilaksanakan dengan spekulasi. Ironisnya, masa keemasan bisnes bunga tulip di Belanda hanya bertahan selama setahun kerana pada tahun 1637, pasaran bunga tulip jatuh merudum dan harga bunga tulip turut merosot.

Sehingga ke hari ini, istilah tulip mania, tulipomania atau kegilaan tulip masih digunakan sebagai istilah untuk menggambarkan kemerosotan ekonomi kerana adanya spekulasi terhadap sesuatu corak bisnes yang bersifat keuntungan. Meskipun cerita di sebalik tulip mania ini sedikit memalukan tetapi Belanda tetap menyanjungi tulip dan ramai orang yang tidak ingat atau tidak tahu bahawa bunga-bungaan tulip yang indah dan cantik itu adalah sebenarnya hasil budi jasa daripada zaman kekhalifahan Islam Turki Uthmaniyyah. Wallahuallam...:)

sumber : http://www.eramuslim.com

Kita Sibuk Dengan Apa?



Kita sering merungut sibuk.. saya sibuk nie.. tak dapat nak hadir majlis ilmu, tak sempat hadir usrah, tak sempat nak hadir mesyuarat dan lain-lain. Tapi tahukah anda bahawa Ar-Rasul adalah manusia yang paling sibuk. Namun kita lihat bagaimana ia memperuntukkan masanya untuk beribadah kepada Allah sehingga bengkak kedua kakinya sedangkan beliau telah dijanjikan syurga.

Ini kerana beliau mahu menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah yang telah memberinya banyak nikmat. Maka marilah kita sama-sama ukur sejauh mana kesibukan kita dan kesyukuran kita kepada Allah  S.W.T. Rasulullah s.a.w. sibuk kerana :

  • Memikirkan masalah umatnya sampai kiamat
  • Bermunajat kepada Allah setiap malam
  • Mengajar ilmu kepada sahabat setiap hari
  • Berperang di jalan Allah
  • Melayani isteri-isteri
  • Menerima dan mengajar Al-Qur'an yang disampaikan oleh Jibrail  selama 23 tahun serta menghafalnya
  • Melayani tetamu dari bangsa Badwi, Yahudi, Parsi, dan lain-lain
  • Menziarah orang sakit (biar muslim, munafiq atau yahudi)
  • Mengajar ilmu  Al-Qur'an kepada Jin
  • Memikirkan untuk menyelamatkan umatnya di hari kiamat (dengan  menyimpan permintaan yang paling besar kepada Allah untuk digantikan  dengan syafaat)


Tetapi kita.... sibuk kerana hanya beberapa perkara :
  • Kerja
  • Keluarga (isteri dan anak-anak)
  • Melangsaikan hutang
  • Main facebook, nengok Youtube
  • Dan lain-lain..


Renungkanlah kata-kata ini pula :
  • Lebih baik mata itu buta jika tidak menghargai keindahan dan ayat-ayat Allah s.w.t.
  • Lebih baik telinga itu pekak jika tidak mendengar nasihat-nasihat Allah s.w.t.
  • Lebih baik anggota badan itu mati jika tidak melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t.


Barangsiapa mengaku empat perkara tanpa disertai dengan empat perkara yang lain, maka dia adalah pembohong :
  • Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong.
  • Barangsiapa yang mengaku cinta Rasulullah s.a.w tetapi tidak cinta kepada ulama dan kaum faqir, maka dia adalah pembohong.
  • Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong; dan
  • Barangsiapa yang mengaku cinta kepada Allah S.W.T tetapi berkeluh-kesah dari bala, maka dia juga adalah pembohong.

~Al-Imam Ghazali~


(Sumber : http://www.iluvislam.com)



Selasa, 2 November 2010

10 Soalan Sebelum Bertunang.....

alt
Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa', bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait  menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa' mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.

Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan  pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di  tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?

Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.
Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?

Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?

Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?

Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?

Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?

Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?

Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?

Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.

Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas. 

Wallahuallam....:)
sumber : http://www.iluvislam.com